gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Ramadhan 1443H / 16 April 2022    Dalam sama-sama menyemarakkan bulan Ramadhan yang mulia,  Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama pelbagai pihak yang berkepentingan khususnya jaringan-jaringan kebeliaan dan kemasyarakatan, telah menganjurkan Program Kembara Amal Ramadhan dan Program Tadarus dan Khatam Al-Quran Belia secara serentak di keempat-empat daerah iaitu Daerah Tutong; Daerah Brunei dan Muara; Daerah Belait dan Daerah Temburong bagi tahun 1443H/2022M. Program ini menumpukan kepada aktiviti Tadarus dan Khatam Al-Quran Belia di masjid-masjid terpilih dan ziarah ke kediaman-kediaman golongan yang kurang berkemampuan.

Bagi Daerah Belait, rombongan diketuai oleh Yang Mulia Dayang Hajah Fauziah binti Haji Abd Hamid, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, turut hadir, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus, Pengarah Pentadbiran dan Kewangan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Pemangku Pengarah Muzium, Puan Nor Masitirena bt Hj Suhaini dengan bermula di Masjid Muhammad Jamalul Alam bagi Program Tadarus dan Khatam Al-Quran Belia. 

Program Kembara Amal Ramadhan diteruskan lagi dengan mengunjungi lima buah rumah penerima sumbangan masing-masing di Kampung Pandan C, Jalan Dipa Negara, Kampung Mumong A, RPN Panaga dan Kampung Sungai Lalit, Lumut. 

Program ini merupakan program tahunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sebagai inisiatif mendekati golongan belia dan masyarakat dengan aktiviti keagamaan dan kerja amal serta kesukarelawanan di bulan yang penuh berkat ini. Aktiviti seumpama ini juga bertujuan sebagai pemerkasaan Syaksiah dan tarbiah golongan belia dengan pembacaan Al-Quran dan sumbangan tenaga serta bantuan meringankan beban orang-orang golongan tertentu  selain untuk memberikan kegembiraan kepada mereka dalam sama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang dengan penuh keriangan dan kesyukuran.