Isnin, 28 September 2020 – Bangunan Arkib Negara Brunei Darussalam, Jabatan Muzium-Muzium. Bengkel 5 hari ini dijadualkan berakhir pada 3 Oktober 2020 diisi dengan pelbagai program khusus dalam pemuliharaan manuskrip dan digitalisasi.
Bengkel asas pemuliharaan ini adalah kali ketiga diadakan dan pada kali ini tertumpu kepada pemeliharaan bahan-bahan kertas yang menjurus kepada pemeliharaan manuskrip.
Seramai 29 peserta daripada pelbagai institusi kerajaan akan didedahkan kepada asas pemuliharaan kertas secara teori dan praktikal termasuk mengadakan beberapa siri lawatan antaranya ke Bahagian Pemeliharaan dan Pembaikan, Jabatan Muzium-Muzium, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Penborneo, Pusat Sejarah.
Kepentingan pemuliharaan manuskrip adalah untuk mencegah bahan daripada kerosakan dan mengekalkan keaslian bahan. Dengan adanya pemuliharaan manuskrip secara fizikal dan digital ini, manuskrip asal dalam bentuk fizikal dapat terus dipelihara dengan baik dan selamat untuk jangka masa yang panjang.
Proses digitalisasi merupakan salah satu kaedah bagi memelihara manuskrip dari segi bentuk fizikal dan kandungan maklumat didalamnya. Melalui proses ini, kandungan manuskrip dalam bentuk digital boleh diakses dengan cepat dan mudah tanpa menyentuh salinan asal manuskrip berkenaan.
Maklumat Lanjut
Jabatan Muzium-Muzium, melalui Arkib Negara Brunei Darussalam merupakan institusi kerajaan yang mengumpul dan memelihara koleksi manuskrip dalam pelbagai cabang bidang dan ilmu termasuk pengajaran agama Islam, perubatan, sejarah, syair-syair, surat-surat perjanjian dan sebagainya.
Bahagian Pemeliharaan dan Pembaikan adalah salah satu bahagian dalam Jabatan Muzium-Muzium berperanan dan bertanggungjawab untuk memulihara bentuk fizikal bahan-bahan koleksi yang diperbuat daripada kertas seperti manuskrip, kitab-kitab lama, surat perjanjian, buku-buku nadir dan peta.