Isnin, 31 Ogos 2020, Jabatan Muzium-Muzium mengadakan taklimat kesedaran kesihatan, keselamatan dan alam sekitar Health, Safety and Environmental (HSE) untuk warga Jabatan Muzium-Muzium.
Seramai 80 orang barisan hadapan daripada Jabatan Muzium-Muzium khususnya dari Muzium Alat Kebesaran Diraja, Muzium Teknologi Melayu, Muzium Maritim Brunei Darussalam, Muzium Daerah Belait, Taman Warisan Tasek Merimbun, Taman Arkeologi Kota Batu, Galeri Sukan dan Arkib Negara Brunei Darussalam.
Hadir bagi sama-sama memperdengarkan taklimat yang disampaikan ialah Yang Mulia Pengiran Hajah Mahani binti Pengiran Haji Ahmad, Pemangku Pengarah Muzium-Muzium dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Qudduus bin Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz, Pegawai Tugas-Tugas Khas di Arkib Negara dan pegawai-pegawai kanan Jabatan Muzium-Muzium.

Taklimat kesedaran ini disampaikan oleh wakil perunding ‘consultants’ syarikat Megamas Training Co Sdn Bhd, Awang Andy Syahriel bin Ali, yang menerangkan tentang keselamatan bangunan, individu dan pengendalian peralatan.


Peserta dimaklumkan mengenai dengan akta yang berkaitan dengan isu-isu keselamatan dan kesihatan khususnya di tempat kerja dan bagaimana setiap petugas perlu mengetahui ciri-ciri keselamatan dan kesihatan dan menjadikannya sebagai satu budaya di tempat kerja.
Warga Jabatan Muzium-Muzium juga diterangkan mengenai Autoriti SHENA Safety, Health and Environment National Authority yang telah ditubuhkan dalam tahun 2018 dan bertanggungjawab untuk mempastikan SHENA Order, 2018 ini dilaksanakan.

Kerjasama antara Jabatan Muzium-Muzium dengan Syarikat Megamas Training Co Sdn Bhd ini adalah untuk meningkatkan lagi kesedaran tentang pentingnya Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) kepada warga Jabatan Muzium-Muzium.