gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Sabtu, 31 Julai 2021– Sebagai usaha ke arah mendukung Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya mengadakan Majlis Penanaman Pokok di bawah Protokol Hijau dan Kempen Kebersihan.

Selaras dengan perlaksanaan Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, acara penanaman pokok ini sebagai mendukung Garis Panduan Protokol Hijau yang merupakan salah satu inisiatif di bawah garis panduan ke arah mengurangkan jejak karbon di premis-premis sektor kerajaan yang mempunyai tujuh (7) elemen utama iaitu Penggunaan Tenaga, Penggunaan Air, Penggunaan Kertas, Penggunaan Plastik, Pembuangan Sisa-Sisa Pepejal, Pengurusan Acara-Acara Rasmi dan Penanaman Pokok.

Menerusi Garis Panduan Protokol Hijau ini, setiap Kementerian disarankan untuk ikut serta dalam menyokong “Kempen 26,000 Pokok” dengan menanam pokok di premis masing-masing. Ke arah itu, sebanyak 16 anak pokok spesis tabebuia chrysantha di tanam di sekitar kawasan bangunan ibu pejabat Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sebagai kesinambungan penanaman 86 anak pokok di kawasan Bangunan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Daerah Temburong pada 06 Mac yang lalu.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Majlis turut diselajurkan dengan Kempen Kebersihan bagi mendukung Kempen Kebersihan Senegara di bawah Jawatankuasa Induk Isu‐isu Kebersihan yang telah dilancarkan pada 5 Jun 2021 sempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang membawakan tema ‘Ecosystem Restoration’ atau Pemulihan Ekosistem. Kempen dijalankan di beberapa buah premis dan fasiliti di bawah kawalan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan antaranya, Bangunan KKBS, Pejabat Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas, Kawasan Kompleks Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Muzium Daerah Belait, Pusat Sejarah Brunei dan Pusat Bahagia Pulaie.

Kempen penanaman pokok dan kempen kebersihan ini akan terus dilaratkan dan dijalankan secara berperingkat-peringkat dalam usaha mencapai matlamat Kempen 26,000 pokok. Ianya juga sebagai satu usaha meningkatkan kesedaran dan memperkasa warga kementerian untuk menanamkan rasa tanggungjawab memelihara alam sekitar dan menjaga kebersihan awam secara berterusan.

Turut hadir ialah Yang Mulia Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) dan Yang Mulia Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar, Yang Mulia Dayang Saidah binti Haji Wahid, Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) dan Yang Mulia Dr Dayang Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan serta Warga Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.