Khamis, 14 April 2022 bersamaan 12 Ramadhan 1443 – Majlis penyerahan derma anak yatim melalui dana daripada Tabung Anak-Anak Yatim di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Tabung Anak Yatim di bawah kawalan Jabatan Daerah-Daerah dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah diadakan.
Jabatan Muzium-Muzium, diketuai oleh Timbalan Pengarah Muzium, Pg Hjh Mahani bt Pg Hj Ahmad beserta 15 pegawai turut serta bertugas bagi Daerah Belait.
Penyerahan secara pandu lalu dilaksanakan di Pusat Insani, Seria disampaikan oleh Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Setiausaha Tetap Pentadbiran, Kewangan dan Estet, KKBS, diiringi bersama Mohammad Yassin bin Haji Ahmed, Pemangku Pegawai Daerah Belait.
Acara dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Arif Fakhrullah bin A.Ramlee, Pegawai Ugama Majlis Ugama Islam Brunei.
Seramai 619 orang anak yatim yang tersenarai di Daerah Belait telah menerima sumbangan daripada Tabung termasuk dari Syarikat Brunei Shell Sendirian Berhad juga turut menyumbangkan derma kepada anak-anak yatim yang berdaftar di daerah berkenaan.


